SEMPORNA: Taktik menyembunyikan dadah dalam lampin pakai buang tidak menjadi apabila dua lelaki ditahan bersama syabu seberat 100.20 gram dalam serbuan di Bandar Baru Seafront, di sini, semalam.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) selepas menjalankan pemantauan di sekitar Jalan Causeway.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, kedua-dua suspek cuba melarikan diri sebaik diperiksa, namun berjaya diberkas di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu menemui dua paket plastik lutsinar bersaiz besar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 100.20 gram dengan anggaran nilai RM10,000.
“Dadah berkenaan disorok dalam lampin pakai buang yang disimpan di dalam beg kertas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Pejabat Narkotik Daerah Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya menjauhi gejala dadah kerana ia bukan sahaja memusnahkan masa depan individu, malah memberi kesan buruk kepada keluarga dan komuniti.
“Orang ramai juga digesa terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya. – Info X