Search

Dua maut, lima parah nahas dua kenderaan di Sandakan

March 2, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Dua maut, manakala lima lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Batu 25, di sini, tengah hari tadi.

Kedua-dua mangsa lelaki dan wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, kereta dinaiki mangsa mengalami rosak teruk akibat hempap lori berkenaan hingga menyebabkan kereta menjadi leper.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.53 tengah hari.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori 10 tan.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keadaan kereta dinaiki mangsa rosak teruk selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Batu 25, Sandakan. – Foto/Bomba

Menurutnya, lima lagi individu termasuk tiga kanak-kanak dilaporkan parah dan dihantar ke hospital menggunakan kenderaan ambulans.

“Empat individu yang berada di dalam lori hanya cedera ringan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memindahkan mayat berkenaan ke dalam kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Severinus berkata, pihaknya menjalankan pemeriksan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.18 petang. – Info X