SANDAKAN: Dua maut termasuk seorang kanak-kanak manakala tiga lagi mangsa cedera dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Batu 17, Jalan Gum-Gum, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Setakat ini, maklumat lanjut berhubung mangsa terbabit belum diperoleh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.09 pagi.
“Sebaik jentera tiba di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan bertembung dengan Perodua Axia. Terdapat lima mangsa terbabit dilaporkan.
“Tiga mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi manakala dua mangsa tersepit,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Tiga lagi mangsa iaitu dua kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa yang cedera dihantar ke hospital oleh ambulans KKM,” katanya.
Tambahan lagi, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.15 pagi. – Info X