Search

Dua maut, tiga cedera kereta terbabas

February 14, 2024

Info X Reporters

SIPITANG: Dua maut manakala tiga cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta yang terbabas sebelum terbalik di Jalan Sabah Forest Industries (SFI), di sini, petang tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai Norsiah Paie dan Mira Khairul masing-masing berusia lingkungan 20 tahun.

Tiga cedera wanita berusia lingkungan 20 tahun.

Semua mangsa di dalam kereta berkenaan mempunyai hubungan kekeluargaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.59 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga lama dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.

“Terdapat lima mangsa terbabit iaitu dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Sipitang menggunakan ambulans.

“Tiga lagi mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

Keadaan kereta yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk.

“Mayat kedua-dua msngsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada 6.20 petang,” katanya. – Info X