PENAMPANG: Dua motosikal disita selepas melakukan kesalahan pengubahsuaian selain penunggang tiada lesen dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Papar – Kota Kinabalu dan Putatan, malam tadi.
Operasi bermula kira-kira jam 11 malam hingga 2 pagi itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang diketuai Ketua BSPT, Inspektor Rozami Ahmad.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil operasi yang dijalankan, sebanyak enam keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 15 motosikal.
“Daripada itu, pasukan operasi menyita dua motosikal bersama dua penunggang lelaki tempatan atas kesalahan tiada lesen menunggang dan pengubahsuaian motosikal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, operasi ini diadakan bagi mengesan pesalah lalu lintas dan menunjukkan kehadiran polis Omnipresence dalam usaha mencegah jenayah di sekitar pentadbiran IPD Penampang khususnya.
“Operasi seumpama ini juga sebagai satu peringatan kepada masyarakat agar terus mematuhi undang-undang dan peraturan laluintas bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Selain itu operasi ini juga bertujuan untuk mencegah dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan di daerah Penampang,” katanya. – Info X