Search

Dua pelancong China dilaporkan hilang di Pulau Mantanani

October 6, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Dua pelancong warga China dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak semalam ketika menginap di Sutera Mantanani Resort, Pulau Mantanani, di sini.

Mangsa lelaki dikenali sebagai Yu Xiapeng, 25, manakala seorang lagi ialah wanita, Fan Qin, 28.

Kedua-duanya dilaporkan mendaftar masuk ke resort berkenaan pada jam 2.14 petang, 4 Oktober lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang sepatutnya mendaftar keluar semalam gagal dikesan sehingga kini dan usaha mencari mereka sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak keselamatan resort berkenaan kira-kira jam 7.57 malam semalam.

Superintendan Shahrudin Mat Husain.

Katanya, kedua-dua mereka gagal dikesan dan pihak resort tidak mengetahui keberadaan mereka selepas waktu daftar keluar.

“Kali terakhir pelancong lelaki dilihat memakai baju lengan panjang dan seluar panjang hitam, manakala pelancong wanita memakai baju berlengan pendek serta seluar pendek paras paha berwarna hitam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak semalam, membabitkan seramai 55 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan penyelamat melakukan pencarian dua pelancong China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani, Kota Belud.

Menurutnya, antara yang terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (Unit Dron), Pasukan Gerakan Am (Platun Tek Mantanani) dan Pasukan Polis Marin.

“Turut serta membantu operasi ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud serta penduduk kampung Pulau Mantanani.

“Tumpuan operasi adalah di kawasan daratan dan perairan Pulau Mantanani. Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Shahrudin turut menasihatkan orang awam supata tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Mana-mana saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ketua Balai Polis Kota Belud, Inspektor Frankie Pain di talian 019-2151132 bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X