PUTATAN: Dua rumah dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Bukit Vor, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian 12.50 tengah malam itu, semua penghuni dua rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 12.59 tengah malam.
Katanya, sepasukan 21 anggota dan empat jentera dibantu BBP Kota Kinabalu dan Penampang dikerah ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya. Dua kenderaan terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 40 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari sumber air jentera bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal pada 1.33 pagi dan operasi memadam bara-bara api masih dijalankan.
“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X