Search

Dua rumah, gerai dan dua kereta musnah terbakar

August 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua rumah, sebuah gerai makan dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Batu 3, Jalan Kionsom, di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran kira-kira jam 1.50 pagi itu memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah dua tingkat separuh kekal serta sebuah lagi rumah tidak kekal.

Sebuah gerai tidak kekal turut musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 pagi sebelum 12 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, operasi turut dibantu dua anggota BBP Kota Kinabalu dengan kekuatan keseluruhan 14 anggota.

“Kebakaran turut membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Saga yang musnah sepenuhnya, manakala Proton Persona terbakar kira-kira 40 peratus.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.52 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.06 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan. – Info X