KUDAT: Aktiviti gelap dua sahabat yang dipercayai baru kira-kira sebulan berjinak-jinak dalam pengedaran dadah berakhir apabila mereka diberkas bersama hampir lebih kurang 400 gram syabu dalam satu serbuan lewat malam, pada Sabtu.
Dalam operasi kira-kira jam 11.30 malam, hasil maklumat awam, Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menyerbu sebuah bilik sewa atas kedai di Pekan Tomburungus sebelum menahan dua lelaki berusia 29 dan 17 tahun yang berada di dalam bilik berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemeriksaan menyeluruh di bilik berkenaan menemukan pelbagai bungkusan dadah yang disorok secara licik di beberapa lokasi.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan lebih kurang 394.16 gram dan dianggarkan bernilai RM43,357.60.
“Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine/amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan, dua telefon bimbit, wang tunai serta sebuah beg galas dalam serbuan berkenaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan punca bekalan dadah yang diperoleh oleh kedua-dua suspek terbabit.
“Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya golongan remaja dan belia supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja memusnahkan masa depan, malah membawa hukuman berat di sisi undang-undang.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah dadah dan orang awam diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan dadah di kawasan masing-masing,” katanya. – Info X