LAHAD DATU: Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes curi motosikal milik seorang wanita di kawasan perumahan pekerja ladang di Jalan Silabukan, di sini.
Dalam kejadian yang berlaku pada 23 Julai lalu, mangsa mendapati motosikalnya yang diletakkan di tempat parkir Perumahan Pekerja Ladang Sebrang hilang sebelum tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, susulan laporan itu, risikan dijalankan sebelum dua suspek berusia 29 dan 36 tahun diberkas dalam serbuan di Jalan Tengah Nipah, kira-kira jam 10.50 malam semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek pertama adalah warga tempatan yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Manakala suspek kedua adalah warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan tiada rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Lahad Datu, hari ini,” katanya. – Info X