PENAMPANG: Polis berjaya memberkas dua lelaki dalam tempoh kurang enam jam selepas disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki susulan pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Putatan.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 30 dan 45 tahun itu ditahan di Kampung Dumpil, Putatan, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.
Tangkapan dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan bantuan anggota Balai Polis Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dipercayai terbabit dalam pergaduhan di hadapan premis perniagaan berkenaan, semalam.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada awal pagi tadi.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula esok hingga 2 Disember depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, motif pembunuhan dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
“Polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi IPD Penampang atau tampil ke balai polis berhampiran.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan spekulasi dan penyebaran maklumat yang belum disahkan bagi memastikan kelancaran siasatan,” katanya. – Info X