KOTA KINABALU: Dua suspek pecah rumah dan curi kenderaan berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam, hasil tindakan pantas dan risikan terperinci pasukan keselamatan.
Tangkapan itu dibuat menerusi operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu di sekitar kawasan Menggatal, lewat malam semalam.
Kedua-dua suspek terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an, yang ditahan dalam dua serbuan berasingan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam satu kes utama pecah rumah dan curi kenderaan di Taman Ujana Kingfisher.

Selain itu, beliau berkata, suspek turut dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga lagi kes pecah rumah di sekitar kawasan Luyang dan Menggatal.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan serta peralatan pecah rumah yang diubah suai yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.

“Turut dirampas beberapa barangan peribadi termasuk telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan pintar, komputer tablet, kamera digital, beg tangan serta barangan lain yang dipercayai hasil kegiatan jenayah.
“Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang panjang melibatkan kes pecah rumah, curi serta berkaitan dadah, manakala seorang lagi turut mempunyai rekod jenayah terdahulu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif dadah, manakala seorang lagi didapati negatif.
“Kedua-dua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan kemungkinan penglibatan mereka dalam kes jenayah lain di sekitar bandar ini,” katanya.
Sementara itu, Kasim menegaskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya IPD Kota Kinabalu dalam membanteras jenayah harta benda, selain menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah demi keselamatan bersama. – Info X