Search

Dua wanita cedera ringan, alami detik cemas kereta terjunam dalam gaung di Tawau

December 25, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Dua wanita mengalami detik cemas selepas kereta jenis Proton Iris yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Jalan Kampung Ranggu, di sini, awal pagi tadi.

Kedua-dua mangsa berusia 31 dan 33 tahun hanya mengalami cedera ringan akibat kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.40 pagi.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sendiri lalu masuk gaung sedalam empat meter.

“Terdapat dua mangsa masih berada di dalam kereta berkenaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Pasukan menjalankan pemeriksaan di lokasi kemalangan selepas mengeluarkan dua mangsa di dalam kereta berkenaan. – Foto/Bomba

Menurutnya, kedua-dua mangsa terbabit dihantar ke Hospital Tawau menggunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.19 pagi,” katanya. – Info X