TAWAU: Dua wanita mendakwa dicabul rakan sekerja ketika berada di sebuah pusat hiburan dan dalam kenderaan, di sini.
Dalam kejadian pada 7 September lalu itu, kedua-dua mangsa dan suspek yang bertugas di sebuah jabatan persekutuan, di Lahad Datu dikatakan keluar bersama ke pusat hiburan, sebelum insiden cabul berlaku.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada dua wanita berusia 21 dan 25 tahun semalam.
Katanya, kedua-dua mangsa membuat laporan polis pada jam 5.59 petang dan 6.34 petang hari yang sama.
“Dalam aduan berkenaan, mereka mendakwa telah dicabul oleh seorang lelaki dikenali yang juga rakan sekerja mereka di sebuah pusat hiburan dan ketika berada di dalam kenderaan di Tawau.
“Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu cabul kehormatan,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek telah dikenal pasti.
“Suspek dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat selepas ini.
“Hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Info X