Search

Dugaan Aidilfitri buat empat keluarga

April 23, 2023

admin

KINABATANGAN: Kegembiraan menyambut dua syawal buat empat keluarga di Kampung Muhibbah Hujung, di sini, berakhir dengan kesedihan apabila rumah mereka musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, turut memusnahkan sebuah rumah kedai, enam bot termasuk enjin dan dua motosikal.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan empat rumah di Kampung Muhibbah Hujung, Kinabatangan. – Foto Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 tengah hari.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, satu pancutan dari sumber air tangki jentera dan pili bomba berdekatan.

“Kebakaran memusnahkan empat rumah, sebuah rumah kedai dua tingkat, enam bot termasuk enjin dan dua motosikal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rumah yang musnah terbakar di Kampung Muhibbah Hujung, Kinabatangan. – Foto Bomba

Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

“Operasi terkawal pada 2.10 petang sebelum operasi ditamatkan pada 5.04 petang.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan bomba,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X