TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbuka puasa sempena Ramadan bersama rakyat Tuaran, di sini, hari ini sebagai satu sejarah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata ia adalah kunjungan kedua Anwar selepas kali terakhir pada 1994, ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Berikutan itu, beliau menyifatkan Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran, di sini, sebagai satu sejarah berikutan kedatangan Anwar.
“Majlis ini bukan saja bermakna bagi warga Tuaran, tapi bersejarah kerana dihadiri Perdana Menteri. Sesungguhnya seluruh warga Tuaran gembira dengan kehadiran Perdana Menteri.
“Menyingkap memori lama, seingat saya kali terakhir Perdana Menteri ke Tuaran ialah pada 1994 selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu di Dewan Tun Mustapha, Maktab Kent Tuaran.
“Setelah 31 tahun, hari ini beliau kembali mengunjungi Tuaran, sebuah daerah yang berjiran dengan Kota Kinabalu.
“Sebagai orang Tuaran saya mewakili rakyat daerah ini dan Sabah keseluruhannya mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke program ini,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat Tuaran, di sini, pada Sabtu.
Majlis itu dianjurkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku kementerian peneraju.
Hajiji turut menyifatkan majlis yang julung kali diadakan di Sabah itu sebagai wadah Perdana Menteri untuk menyantuni rakyat akar umbi, khususnya pada bulan Ramadan.
“Majlis ini dihadiri pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam. Beginilah suasana yang biasa berlaku di Sabah.
“Perbezaan kaum dan berlainan agama serta budaya tidak mendatangkan masalah. Semua ini adalah lambang keunikan dan kepelbagaian di Sabah.
“Dengan toleransi yang tinggi dan perpaduan jitu, ia kekal sebagai kunci kesatuan bagi menikmati kehidupan yang harmoni, aman dan sejahtera,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata berdasarkan pemerhatiannya, sejak menerajui negara, Perdana Menteri berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.
“Perdana Menteri sering diundang ke forum antarabangsa bagi menyampaikan pandangan negara bersabit isu antarabangsa, ini amat membanggakan kita.
“Selain itu, pertumbuhan ekonomi negara amat menggalakkan, pelabur berduyun-duyun datang membawa ratusan bilion ringgit dan perkembangan ekonomi begitu ketara. Ini menunjukkan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul,” katanya.
Berdasarkan perkembangan itu, katanya, selain dikukuhkan lagi dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN membuktikan pengikhtirafan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia. – Info X