Search

DUN belum dimaklumkan bila RUU anti lompat parti dibentang

May 16, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata pihaknya setakat ini belum dimaklumkan mengenai pembentangan bila rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan negeri berkaitan anti lompat parti dibuat.

Beliau berkata, pihaknya hanya menunggu keputusan kerajaan negeri bila RUU itu mahu dibentangkan, sama ada pada Persidangan DUN Sabah yang bermula 22 Mei ini atau pada persidangan lain.

“Kita belum dinotifikasi tapi jika kerajaan sedia bentang, ia akan dibentangkan. Jika belum sedia dan tidak sempat dibentangkan pada sidang DUN kali ini, kita akan buat pada sidang khas.

“Sebab RUU pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti ini mungkin akan menerima ramai pembahas, jadi mungkin masa sehari persidangan untuk RUU itu tidak cukup.

“Jadi, kalaupun ada pembentangan RUU anti lompat parti, kita akan buat pada sidang khas jika tidak sempat pada sidang kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Persidangan Penggal Keempat DUN Ke-16 Sabah yang akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 22 Mei ini.

Sementara itu, Kadzim turut mengesahkan ada menerima permohonan parti pembangkang untuk membentangkan RUU persendirian berhubung anti lompat parti.

Katanya, beliau sudah menyerahkan perkara itu kepada kerajaan negeri dan jawapannya, pihak kerajaan akan membentangkan RUU anti lompat parti.

“Tapi kita tidak pasti bila (dibentangkan). Jadi, memandangkan kerajaan akan membentangkan (RUU anti lompat parti), tiada keperluan untuk RUU persendirian dibentang.

“Tapi, besok (Rabu) ada mesyuarat Kabinet negeri, jadi mana tahu ia akan memutuskan untuk membentangkan RUU itu esok,” katanya.

Pembentangan RUU berkaitan anti lompat parti di peringkat negeri menjadi perhatian memandangkan sebelum ini kerajaan negeri sudah mengumumkan akan membentangkannya selepas Parlimen meluluskan undang-undang sama di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Kadzim berkata sebanyak tiga RUU berkaitan pindaan kecil undang-undang dijangka dibentangkan pada persidangan DUN kali ini yang bermula pada 23 hingga 25 Mei ini.

Dalam hal lain, Kadzim berkata DUN Sabah masih mengekalkan kod pakaian sedia ada persidangan yang mewajibkan pemakaian sut lengkap dengan tali leher.

Beliau berkata, pihaknya tiada cadangan untuk menukar kod pakaian itu seperti yang dilakukan di Dewan Rakyat. – Info X