KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijadual bersidang dari 10 April hingga 17 April depan.
Penetapan tarikh persidangan berkenaan dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong menerusi keluaran khas Warta Kerajaan Sabah bertarikh 12 Mac lalu.
Menerusi warta berkenaan, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman membuat proklamasi memanggil persidangan DUN mengikut Fasal (1) Artikel 21 Perlembagaan Negeri Sabah.
Fasal berkenaan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah boleh dari semasa ke semasa memanggil DUN untuk bersidang.
Persidangan di Aras 4, Bangunan DUN Sabah itu dijadual bermula pada 10 April sebelum disambung pada 14, 15, 16 dan 17 April.
Pada hari pertama persidangan kebiasaannya diadakan istiadat pembukaan DUN dan ucapan dasar kerajaan negeri yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri.
Ia adalah persidangan DUN pertama bakal dirasmikan Tun Musa selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada 1 Januari lalu.
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima 2025 DUN Sabah Ke-16 itu dijangka menjadi persidangan terakhir sebelum DUN sekarang dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). – Info X