KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kecoh apabila penjelasan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dipertikai ADUN pembangkang ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2024, hari ini.
Kekecohan itu bermula apabila Masidi membetulkan fakta mengenai pembentangan belanjawan tambahan sebanyak RM1.004 bilion yang didakwa pembangkang sebagai tertinggi dalam sejarah.
Masidi menjelaskan belanjawan tambahan yang dibentangkannya itu bukanlah yang tertinggi kerana rekod menunjukkan belanjawan tambahan ketika kerajaan WARISAN pada 2019 adalah lebih tinggi iaitu RM1.3 bilion.
Beliau menyatakan penjelasan itu bukan untuk memalukan parti berkenaan tetapi ADUN WARISAN dari Merotai, Sarifuddin Hata, kemudian bangkit dan menyatakan bahawa belanjawan tambahan ketika itu tinggi disebabkan COVID-19 dan ia berlaku di seluruh negara.
Masidi bagaimanapun menafikan ada niat memalukan WARISAN, sebaliknya beliau menyatakan bahawa penjelasannya belum selesai.
“Saya tidak mengatakan WARISAN malu atau saya malu kerana saya belum habis cakap. Waktu Barisan Nasional (BN) juga pernah sampai RM1.5 bilion belanjawan tambahan.
“Jadi hari ini bukan yang tertinggi, itu yang saya ingin nyatakan. Ia bukan kerana tinggi, bukan kerana WARISAN, bukan kerana GRS, bukan kerana BN.
“Ini bukan tujuan memalukan, ini hanya menyatakan pernah dua kali sebelum ini di mana belanjawan tambahan melepasi RM1 bilion, tiada apa-apa, itu saja..full stop,” katanya.
Masidi turut memberi menjelaskan isu pengambilalihan Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) oleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) yang dibangkitkan ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Bagaimanapun, katanya perkara itu akan dijelaskan dengan lebih terperinci pada sesi soal jawab lisan Persidangan DUN, esok.
ADUN Karanaan itu berkata, beliau tiada apa-apa kepentingan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan negeri atau mahu menjadi popular.
“Dengan izin mudah-mudahan sebelum saya berlepas, saya dapat beri khidmat untuk negeri agar saya dapat merasa bahawa saya telah membuat sesuatu yang baik kepada negeri kita, percayalah tiada niat lain.
“Saya sudah 74, saya antara yang paling tua di sini, saya tiada apa-apa kepentingan, percayalah. Saya buat ini sementara ada peluang buat kerja, itu saja,” katanya.
Sesi penggulungan Masidi turut terganggu apabila ada ADUN di pihak kerajaan dan pembangkang bangkit sambil menyalahkan satu sama lain hingga memaksa Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya mematikan pembesar suara. – Info X