Search

DUN Sarawak dibubarkan 26 Oktober, PRN-13 dalam tempoh 60 hari

October 23, 2026

Info X Reporters

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa Isnin ini, 26 Oktober, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

Menurut Bernama, perkara itu diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada sidang media khas di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, petang ini.

Abang Johari berkata, keputusan pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran berkenaan bagi membolehkan segala urusan berkaitan pilihan raya dilaksanakan.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kerajaan negeri akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi segala kehendak serta kelaziman perlembagaan yang berkuat kuasa.

Katanya, pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara sepanjang tempoh berkenaan.

Mandat semasa DUN Sarawak yang mempunyai 82 kerusi dijadualkan berakhir pada Februari 2027.

Pada PRN Sarawak pada 18 Disember 2021, GPS pimpinan Abang Johari memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi.

Bagaimanapun, selepas PSB dibubarkan pada 2024, tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), iaitu salah satu parti komponen GPS.

Seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

GPS kini dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.-Info X