Search

ECoS buat penilaian projek tenaga utama di Sabah

May 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) melaksanakan pemantauan dan penilaian menyeluruh terhadap projek tenaga utama di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata inisiatif itu selaras dengan usaha memperkukuh sistem bekalan tenaga elektrik di negeri ini.

Katanya, bagi tujuan itu beliau bersama rombongan ECoS dan Sabah Electricity, baru-baru ini membuat lawatan ke beberapa stesen janakuasa sedia ada dan tapak projek pembangunan tenaga di pantai barat Sabah.

“Antara lokasi yang dilawati ialah Loji Janakuasa SPR Energy, Loji Janakuasa Kimanis Power, Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT), Stesen Hidro Tenom Pangi dan dua tapak projek baharu di Kimanis.

“Lawatan ini bertujuan menilai tahap kemajuan projek, memastikan pematuhan piawaian keselamatan dan teknikal dan menilai kecekapan operasi loji janakuasa sedia ada yang berperanan penting dalam kestabilan bekalan tenaga elektrik di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemantauan rapi amat penting bagi memastikan semua projek berjalan mengikut jadual dan dapat meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga.

Katanya, dua projek janakuasa baharu di Kimanis bakal menyumbang 200MW tenaga dalam rangkaian Grid Sabah setelah siap nanti.

Beliau menegaskan usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sabah untuk menangani isu bekalan elektrik dan memperkukuh sektor tenaga negeri secara holistik.

Perkara itu, katanya selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

“ECoS komited untuk memastikan setiap projek tenaga di Sabah dibangun dan diuruskan secara cekap, selamat dan mampan.

“Kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan dan syarikat syarikat GLC serta pemain industri adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan projek-projek ini,” katanya. – Info X