Search

ECoS buka bidaan bangunkan loji janakuasa solar berskala besar

May 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) membuka tawaran untuk membangunkan Projek Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik (PV) Berskala Besar (LSS) yang pertama di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan penghasilan tenaga melalui Tenaga Boleh Baharu bagi memastikan bekalan tenaga yang lestari di negeri ini.

Katanya, projek LSS-SABAH 2024 itu adalah satu usaha pembangunan loji tenaga solar PV berskala besar dengan jumlah kapasiti 100MWac yang akan ditawarkan melalui bidaan terbuka di bawah pengawasan ECoS.

Beliau berkata, bidaan dibuka merangkumi kapasiti 1MWac hingga 15MWac, sama ada dengan reka bentuk yang dipasang di atas tanah, di atas permukaan air atau di atas bangunan (rooftops).

“Program ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang memiliki sumber tersedia untuk menyertai proses bidaan. Loji-loji tenaga solar yang berjaya disasar untuk mula beroperasi pada 2026.

“ECoS menyeru syarikat-syarikat berpengalaman atau konsortium dengan rekod prestasi terbukti dalam melaksanakan projek penjanaan kuasa, termasuk pembiayaan projek dan operasi loji janakuasa untuk mengemukakan bidaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada syarikat milik Sabah yang layak atau konsortium yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) atau Pusat Pendaftaran Kontraktor Sabah untuk Kerja (PUKONSA), dengan syarat syarikat atau rakan kongsi mereka memenuhi kriteria yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid.

Selain itu, katanya untuk memastikan aspek keselamatan dan kualiti, syarikat juga dikehendaki melantik Kontraktor Elektrik dengan Kelas PV (Bersambung-Grid) yang berdaftar dengan ECoS.

“LSS-SABAH 2024 menandakan langkah besar ke hadapan untuk kerajaan negeri dalam komitmen memanfaatkan sumber tenaga yang bersih dan boleh baharu, seperti yang dinyatakan dalam ‘Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040’ atau dikenali juga sebagai SE-RAMP 2040 yang dilancarkan pada September lalu.

“Inisiatif ini bersama dengan banyak inisiatif lain yang sedang dalam perancangan, menjanjikan sumbangan kepada masa depan tenaga yang lebih lestari untuk negeri dan memastikan bahawa rakyat Sabah akan terus memiliki bekalan kuasa yang boleh harap serta terjamin untuk generasi akan datang,” katanya.

Katanya, dokumen bidaan boleh dilihat di Ibu Pejabat ECoS pada waktu pejabat, manakala maklumat umum mengenai bidaan itu juga boleh diperolehi di www.ecos.gov.my/LSS-SABAH2024 atau emel [email protected]. – Info X