KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam sektor kawal selia tenaga di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri ke arah meningkatkan integriti tadbir urus dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Pemeteraian MoU ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan integriti tadbir urus dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) ECoS 2026–2030 dan pertukaran MoU di antara ECoS dengan IIM di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Menerusi MoU berkenaan, ECoS dan IIM akan berkongsi kepakaran dalam aspek pengoperasian, pencegahan dan pendidikan, manakala ECoS turut mendapat bantuan bagi merealisasikan aspirasi kerajaan selaras dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Pegawai ECoS juga berpeluang mengikuti pelbagai program latihan anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), termasuk program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang bertujuan memperkukuh tadbir urus dalam agensi awam, syarikat berkepentingan kerajaan dan sektor swasta.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, MoU itu akan memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, pembangunan kapasiti, latihan, kesedaran antirasuah dan pengurusan risiko rasuah.
Beliau berkata, kerjasama itu juga akan memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dalam pelaksanaan fungsi kawal selia ECoS bagi memastikan sektor tenaga Sabah ditadbir secaratelus dan berintegriti.
Pada majlis berkenaan, Ketua Menteri bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman menyaksikan pertukaran MoU di antara Abdul Nasser dengan Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim. – Info X