KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) hanya mengiktiraf Perakuan Kekompetenan Elektrik dan Solar PV yang dikeluarkannya bagi sebarang urusan pendaftaran di bawah pentadbiran ECoS mulai Januari 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, dalam kenyataannya hari ini, berkata penguatkuasaan peraturan itu selaras dengan pewartaan Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Peraturan 60, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024.
Katanya, enakmen berkenaan terletak di bawah bidang kuasa ECoS selepas suruhanjaya itu mengambil alih kuasa kawal selia aktiviti bekalan elektrik di Sabah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia sejak 3 Januari lalu.

“Semua pemegang Perakuan Kekompetenan sedia ada, sama ada dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan atau Sustainable Energy Development Authority (SEDA) boleh memohon untuk perakuan setara daripada ECoS selepas menghadiri dan lulus dalam Kursus Modul Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024,” katanya.
Jelasnya syarat yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 menyatakan bahawa seseorang yang ingin menjadi Orang Kompeten ECoS hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai enakmen dan peraturan di bawahnya.
“Kekompetenan dalam bidang elektrik adalah salah satu elemen penting dalam memastikan kerja-kerja pepasangan yang selamat dan mematuhi piawai elektrik dilaksanakan secara selamat untuk untuk melindungi pengguna,” katanya.
Beliau mensihatkan agar semua pemegang Perakuan Kekompetenan ST mahupun SEDA untuk berhubung terus dengan mana-mana pusat latihan yang sudah ditauliahkan oleh ECoS bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penganjuran kursus berkaitan.
Katanya, setakat ini, ECoS sudah mentauliahkan sebanyak 16 pusat latihan untuk mengendalikan Kursus Modul EBE 2024 dan PPBE 2024.
“Senarai pusat latihan ini
boleh dirujuk dalam laman sesawang rasmi ECoS,” katanya. – Info X