KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Edward Linggu dipilih mengisi kekosongan Ahli Dewan Negara mewakili Sabah atas usul kerajaan negeri.
Pemilihan beliau diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada akhir Persidangan DUN kali ini, hari ini.
Usul pemilihan beliau dikemukakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan disokong Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Ia kemudian diluluskan selepas mendapat sokongan 53 daripada 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Seramai 26 ADUN tidak berada dalam Persidangan DUN ketika sesi undian dijalankan.
Bekas ADUN Tamparuli dari 1999 hingga 2004 itu dipilih menggantikan Ketua Wanita UMNO Sabah, Senator Datuk Noraini Idris yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 9 Disember depan.
Edward akan memulakan tugas sebagai Senator berkuatkuasa pada 10 Disember depan.
Sejurus pemilihan itu, Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya menangguhkan persidangan DUN kali ini yang berlangsung sejak Jumaat lalu. – Info X