SEMPORNA: Tujuh individu cedera selepas tiga kenderaan terbabit dalam kemalangan dipercayai ketika cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan di Jalan Simpang 4 Kalumpang, Semporna – Tawau, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.52 pagi.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas muatan buah kelapa sawit yang dibawa sebuah lori dipercayai terjatuh ke atas jalan raya.
“Kenderaan jenis Isuzu DMax, Toyota Hilux dan Toyota Avanza yang dalam perjalanan menuju ke Tawau dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit berkenaan sebelum terbabit dalam kemalangan.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan tujuh mangsa iaitu tiga lelaki dan empat perempuan.
“Seorang lelaki dilaporkan cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan, manakala seorang lagi mengalami masalah jantung dan seorang lelaki tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, empat mangsa perempuan pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
“Pasukan EMRS memberikan rawatan awal kepada mangsa lelaki yang cedera parah sebelum membawanya ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
“Mangsa lelaki yang mengalami masalah jantung turut dibantu anggota bomba dan diserahkan kepada ambulans KKM Tawau,” katanya.
Zainal berkata, dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Semporna menggunakan ambulans KKM, manakala dua mangsa perempuan turut dihantar ke hospital berkenaan menggunakan EMRS BBP Semporna.
Menurutnya, operasi turut membabitkan kerja pembersihan sisa minyak, buah kelapa sawit dan serpihan kaca yang bertaburan di permukaan jalan menggunakan hose reel dan foam.
“Operasi tamat pada 12.36 tengah hari selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain,” katanya. – Info X