RANAU: Amalan memilih jurusan yang dianggap mudah bagi memenuhi keinginan untuk melanjutkan pengajian perlu dihentikan demi masa depan pelajar.
Nasihat itu diberikan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, yang berpendapat pelajar seharusnya merancang pengajian sebelum menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, ia bagi mengelakkan mereka terjebak dalam lingkungan pelajar yang hanya menyambung pengajian dan berisiko untuk keluar sebagai graduan tanpa prospek pekerjaan yang baik.

“Terlalu ramai graduan lepasan universiti dan kolej yang kini gagal untuk mendapatkan pekerjaan yang baik sungguhpun memiliki ijazah atau diploma disebabkan hanya memilih jurusan yang mudah namun tidak berdaya saing atau menjanjikan pendapatan yang lumayan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah Ranau, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan itu berkata minyak dan gas dikenal pasti sebagai sektor yang berdaya saing dan menjanjikan pendapatan lumayan di Sabah pada masa ini dan akan datang.
Jelasnya, sektor berkenaan sangat memerlukan prospek tenaga kerja berlatarbelakangkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Melalui Perjanjian Kolaborasi Komersial Antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONA, sebanyak RM5 bilion diperuntukkan oleh PETRONAS khusus untuk kontrak dalam sektor minyak dan gas, yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pemain-pemain industri anak-anak Sabah.
“Malangnya, daripada jumlah tersebut, hanya 11 Peratus daripada perolehan kontrak adalah terdiri daripada syarikat yang berasal dari Sabah dan dimiliki oleh anak Jati Sabah.
“Untuk itu, bagi menghasilkan pemain industri yang unggul, pelajar Irsyadiah yang berlatar belakangkan agama seharusnya mengambil peluang dengan mengasimilasikan keagamaan dan juga merebut peluang berkenaan dengan memilih jurusan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sebagai pilihan pengajian bagi memenuhi kehendak dalam sektor berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Sekolah Menengah Agama Al-Irsyadiah mencatat peningkatan akademik selama lima tahun berturut-turut dan berjaya dinobatkan sebagai sekolah terbaik di daerah Ranau dengan pencapaian cemerlang selama dua tahun berturut-turut iaitu GPS 3.10 pada 2022 dan GPS 2.48 pada 2023.
Pada majlis itu, Masidi menyampaikan Anugerah Wangsa Mutia kepada tiga pelajar yang memperoleh 11A dalam SPM iaitu Marsa Ulfa Baharuddin, Eqah Syamimi Ahinin @ Hajin dan Syahzwan Arash Khairudin @ Amiudin, serta Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2023 (Kategori Peperiksaan Awam) kepada Siti Ain Syafiqah Munib yang memperoleh keputusan Jayyid.
Ekoran kecemerlangan sekolah itu, Masidi blmeluluskan pembinaan sebuah Dewan Serbaguna SMA Al-Irsyadiah Ranau dengan peruntukan berjumlah RM200,000, Sistem Takungan dan Saliran (Tangki) berjumlah RM27,700 dan Insentif Kecemerlangan Guru-Guru berjumlah RM10,000.
Turut hadir pada majlis ialah ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin; Pengerusi Pengelola Lembaga Pengurusan Sekolah, Datuk Faimin Kamin dan Pengetua SMA Al-Irsyadiah Ranau, Ustaz Esibi Lakui. – Info X