Search

Emas dan perak dikenakan cukai jualan negeri

April 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Emas dan perak yang dilombong di negeri ini disenaraikan antara produk baharu yang dikenakan cukai jualan negeri (CJN).

Produk baharu yang turut dikenakan CJN ialah pasir silika dan biojisim kelapa sawit yang dibawa keluar dari Sabah.

Perkara itu disebut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam ucapan dasar kerajaan negeri pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, pada Khamis.

Musa berkata, CJN ke atas produk baharu itu adalah antara usaha mempelbagaikan sumber hasil Sabah dan mengurangkan kebergantungannya terhadap hasil minyak dan gas.

“Dalam usaha mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan hasil negeri terhadap sumber berkaitan minyak dan gas, kerajaan negeri telah mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas tiga produk baharu, iaitu pasir silika, biojisim kelapa sawit yang dibawa keluar dari Sabah serta emas dan perak yang dilombong di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Musa mengucapkan tahniah atas kejayaan kerajaan negeri mengekalkan pungutan hasil negeri melebihi RM6 bilion pada tahun lalu selepas berjaya mengutip sebanyak RM6.82 bilion.

“Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga untuk mencapai kutipan hasil negeri yang cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Musa menyokong usaha kerajaan Sabah memperkukuh tadbir urus kewangan negeri sejajar komitmen terhadap aspek integriti dan ketelusan kerajaan.

Katanya, beliau menyambut baik usaha itu yang dilaksanakan melalui penambahbaikan prosedur dan garis panduan pengurusan kewangan negeri.

“Komitmen kerajaan negeri terus memperkukuh integriti dan ketelusan pengurusan kewangan terserlah melalui pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara ke atas Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sabah untuk tahun berakhir 31 Disember 2023 yang mencatat prestasi cemerlang tanpa teguran selama 22 tahun berturut-turut.

“Saya juga menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh tadbir urus kewangan negeri melalui penambahbaikan prosedur dan garis panduan pengurusan kewangan, seperti tatacara perolehan dan pelantikan konsesi,” katanya.

Selain itu, Musa berkata kerajaan negeri juga meluluskan garis panduan pelantikan ahli lembaga pengarah dan menetapkan kriteria khusus untuk merangka strategi serta mentransformasikan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). – Info X