KOTA KINABALU: Empat atlet olahraga Sabah terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Asian B20 Ke-21 di Dubai, Emeriah Arab Bersatu yang bermula 24 April ini.
Empat atlet terbabit ialah Dexter Beddie bagi acara 100M dan 4x100M, Hanssen Yap Soon Fu (100M/4x100M), Pengiran Aidil Auf Hajam (200M/4×100) dan Muhammad Khalil Helmi (400M).
Pembabitan mereka ke kejohanan antarabangsa itu dimaklumkan Presiden Olahraga Sabah, Mohamat Hassan ketija kunjungan hormat terhadap Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin di pejabatnya, di sini, hari ini.
Selain empat atlet dari Sabah, turut menyertai kejohanan yang berlangsung hingga 27 April itu ialah 12 lagi atlet muda dari negeri lain.
Sementara itu, Ellron berkata kementeriannya akan memberi bantuan kewangan kepada keempat-empat atlet terbabit menerusi geran tahunan yang diperuntukkan kepada persatuan sukan.
Katanya, bantuan berkenaan bagi memudahkan urusan perjalanan atlet ke kejohanan terbabit.
“Kita berharap agar keempat-empt atlet ini akan melakar kejayaan nanti dan membuat warga Sabah berbangga dengan pencapaian mereka,” katanya.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor dan ibu bapa atlet.
Dalam pada itu, mengulas penyertaannya dalam kejohanan berkenaan, Hanssen yang juga juara acara 100 meter Sukan Sabah 2023, berkata beliau akan membuat yang terbaik apabila beraksi nanti.
Rakannya dalam kuartet 4×100 meter, Dexter pula berkata pemilihannya dalam senarai pendek atlet yang mewakili negara ke kejohanan itu amat menggembirakannya.
“Saya amat gembira, sebab dari dulu lagi saya ada matlamat mahu beraksi di kejohanan luar negara dan berharap agar dapat membawa balik pingat,” katanya.
Bagi Muhamad Khalil, katanya beliau sudah lama menunggu untuk menyertai kejohanan itu dan berharap dapat membuat rekod peribadi terbaik. – Info X