BEAUFORT: Polis menahan empat individu yang disyaki terbabit dalam kes memeras ugut dan membuli seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di daerah Membakut, minggu lalu.
Kejadian dipercayai berlaku pada 8 Julai lalu apabila mangsa mendakwa dipaksa menyerahkan wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah daripada suspek.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Beaufort membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, hasil tindakan pantas dan risikan yang dijalankan, polis berjaya menahan empat suspek pada 9 Julai lalu bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjadi sasaran perbuatan meminta wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah.
“Semua suspek sudah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan siasatan masih diteruskan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis memandang serius sebarang bentuk buli, pemerasan, ugutan jenayah atau gangguan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut undang-undang tanpa mengira latar belakang atau status,” katanya.
Champin turut menggesa murid, pelajar, ibu bapa, penjaga dan pihak sekolah supaya sentiasa peka terhadap sebarang perlakuan buli atau ugutan serta segera membuat laporan polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial kerana ia boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – Info X