Search

Empat kotak misteri di lobi kondominium rupanya syabu RM1.28 juta

February 24, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Empat kotak misteri yang ditinggalkan di lobi sebuah kondominium di daerah ini membongkar kegiatan pengedaran dadah selepas polis menemui syabu seberat 25.7 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM1.28 juta, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 2 petang itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melakukan pemeriksaan terhadap empat kotak mencurigakan di kawasan lobi bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 24 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki methamphetamine.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 25,744.37 gram dengan nilai kira-kira RM1,287,218.50.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy (tengah) menunjukan syabu seberat 25.7kg yang dirampas dalam serbuan di lobi kondominium di Penampang.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan serta menahan individu yang terlibat selain membongkar rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Sammy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada kejayaan operasi itu.

“Orang ramai digesa terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat bagi memastikan daerah Penampang kekal selamat dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya. – Info X