TENOM: Empat motosikal troli yang diletakkan di landasan dirempuh sebuah kereta api yang dilaporkan mengalami masalah brek dalam kejadian di Batu 11, laluan Tenom–Pangi, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tenom, Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 pagi
Beliau berkata, kereta api berkenaan yang dalam perjalanan menghala ke Kampung Pangi dilaporkan hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek sebelum melanggar motosikal troli yang berada di atas landasan.
“Siasatan awal mendapati motosikal troli berkenaan diletakkan di landasan oleh penduduk yang menunggu ahli keluarga masing-masing turun dari kereta api di Batu 11.
“Ia sebagai pengangkutan alternatif untuk membawa penumpang pulang ke kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan kereta api laluan Tenom–Pangi ketika ini hanya beroperasi sehingga Batu 11 berikutan banjir dan tanah runtuh di pertengahan laluan.
Susulan itu, penduduk yang tinggal lebih jauh termasuk ke arah Pangi terpaksa menggunakan motosikal troli atau berjalan kaki bagi meneruskan perjalanan ke kampung masing-masing kerana tiada jalan perhubungan lain.
Azmir berkata, kegagalan brek dikesan lebih awal sebelum kereta api tiba di lokasi kejadian, namun tren berkenaan tetap terbabas dan melanggar empat motosikal troli yang diparkir di landasan.
“Akibat kejadian itu, seorang lelaki mengalami kecederaan ringan manakala penumpang lain dilaporkan selamat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan kereta api supaya sentiasa memastikan tren berada dalam keadaan sempurna dan selamat sebelum dibenarkan bergerak di landasan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak menggunakan motosikal troli di landasan yang sama digunakan oleh perkhidmatan kereta api negeri walaupun menyedari mereka berdepan kekangan kerana tiada laluan alternatif lain.
“Keselamatan semua pihak perlu diutamakan dan sebarang risiko perlu dielakkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang,” katanya. – Info X