Search

Empat pegawai badan berkanun, dua pekerja agensi pelancongan ditahan SPRM

February 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Empat pegawai awam Badan Berkanun Persekutuan bersama dua pekerja sebuah syarikat agensi pelancongan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung tuntutan palsu membabitkan pembelian tiket kapal terbang, pada Isnin.

Menurut sumber, tuntutan itu dipercayai melibatkan butiran penerbangan yang dipalsukan, manakala tiket sebenar tidak disediakan oleh syarikat berkenaan kepada pegawai dan kakitangan jabatan terbabit.

“Tuntutan ini membabitkan nilai hampir RM1.3 juta.

“Enam suspek, terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun, ditahan sekitar jam 9.30 malam ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah untuk memberikan keterangan,” kata sumber itu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu.

Tambahnya, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pada Selasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Beberapa siri tangkapan dijangka dibuat pada masa akan datang berdasarkan perkembangan siasatan kes,” katanya. – Info X