TAWAU: Empat pelajar dibelasah sekumpulan pelajar sekolah ketika berjalan menuju ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat dalam kejadian di Jalan Sri Delima, Merotai Besar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang daripada mangsa dipukul terlebih dahulu sebelum tiga rakannya turut menjadi sasaran kumpulan terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.09 malam sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar apabila didatangi sekumpulan pelajar sekolah yang dikenali mangsa.
“Suspek dikatakan bertanyakan mengenai keberadaan dua individu sebelum seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa.
“Beberapa pelajar lain kemudian turut menyerang mangsa secara beramai-ramai, manakala tiga rakan mangsa turut dipukul dalam kejadian sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.
Beliau berkata, polis sedang mengesan semua individu yang terbabit, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya yang membabitkan pelajar sekolah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee di talian 013-8840113 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X