Search

Empat usahawan tempatan terima bantuan RM1.16 juta

September 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Empat perusahaan tempatan yang beroperasi di Inanam dan Penampang menerima bantuan mesin dan peralatan bernilai RM1,167,640 atau RM1.16 juta daripada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Empat perusahaan itu ialah Sri Mas Foods Industries Sdn Bhd di Inanam, C&S Tasty Bakery Sdn Bhd, Rich Maju Holdings dan Dir Rich Global Enterprise di Penampang.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri, Datuk Ewon Benedick ketika melawat perusahaan terbabit berkata dana itu disalurkan menerusi Geran SME-UP (Mesin dan Peralatan) bagi membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran, produktiviti dan daya saing perniagaan.

“Impak bantuan ini dapat dilihat menerusi perkembangan perusahaan, termasuk peningkatan produktiviti sehingga tiga kali ganda selepas menggunakan mesin dan peralatan baharu daripada geran SME-UP DIDR,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Di Sri Mas Foods Industries Sdn Bhd, Inanam, Ewon berkata, perusahaan yang mengeluarkan produk bebola ikan dan daging, burger, dimsum serta pau itu menerima bantuan SME-UP bernilai RM106,000 bagi perolehan mesin dan peralatan.

“Saya dimaklumkan selepas mesin-mesin ini digunakan sepenuhnya, produktiviti perusahaan meningkat sebanyak 30 peratus,” katanya.

Dalam lawatan ke C&S Tasty Bakery Sdn Bhd di Penampang pula, Ewon berkata, perusahaan berkenaan menerima bantuan bernilai RM390,000 bagi perolehan mesin pembungkusan dan pemotong roti.

Katanya, mesin yang tiba kira-kira tiga minggu lalu dan kini dalam proses pengujian operasi dijangka mampu meningkatkan produktiviti perusahaan antara dua hingga tiga kali ganda.

“Saya dimaklumkan bahawa syarikat ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan bagi pembinaan kilang baharu milik sendiri di Penampang,” katanya.

Ewon turut mengunjungi Rich Maju Holdings di Penampang yang mengusahakan produk popcorn jenama One Moreee milik Ng Sui Yee.

Katanya, usahawan itu memulakan perniagaan menerusi sebuah kiosk di Pekan Donggongon pada 2022 dengan pendapatan purata sekitar RM100 sehari sebelum jualannya berkembang sehingga mencecah lebih RM500,000 setahun pada 2025.

Syarikat itu menerima dua mesin pemprosesan baharu bernilai RM642,230 menerusi Geran SME-UP.

“Kisah kejayaan Sui Yee, daripada berniaga di kiosk kecil sehingga beroperasi di kilang baharu, wajar menjadi inspirasi kepada usahawan lain. Bantuan mesin yang diterima kini digunakan untuk meningkatkan lagi produktiviti perusahaan,” katanya.

Ewon turut melawat Dir Rich Global Enterprise di Penampang, iaitu perusahaan kek lapis yang diusahakan adik-beradik Dirar dan Talhah.

“Saya sentiasa menggalakkan sinergi seperti ini, iaitu usahawan saling membantu dalam membina rantaian keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, DIDR turut menyalurkan bantuan SME-UP bernilai RM29,410 kepada perusahaan itu bagi perolehan mesin dan peralatan.

Ewon berkata, bantuan mesin dan peralatan yang disalurkan kerajaan bukan sahaja membantu usahawan memperkukuh operasi dan meningkatkan produktiviti, malah membolehkan mereka mengembangkan pasaran serta meningkatkan daya saing.

Beliau berharap penerima memanfaatkan sepenuhnya bantuan berkenaan untuk terus mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada DIDR atas usaha berterusan membantu usahawan tempatan mendapatkan mesin dan peralatan yang diperlukan bagi mengembangkan perusahaan mereka.

Dalam rangka lawatan itu, Ewon turut mengunjungi RDS Juta Food Industries di Kampung Teguli, Putatan dan menyempurnakan perasmian premis baharu perusahaan yang mengeluarkan produk dimsum.

Pemiliknya, Rafidah Jumahad adalah penerima Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 dan kini menggaji 20 pekerja serta mencatat jualan sehingga RM1.4 juta setahun.

Lima syarikat usahawan yang mendapat bimbingan dan bantuan DIDR itu berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 174 pekerja tempatan.

Daripada jumlah itu, Sri Mas Foods Industries menggaji 90 pekerja, C&S Tasty Bakery seramai 48 pekerja, Rich Maju Holdings (One Moreee) dan Dir Global Enterprise masing-masing lapan pekerja, manakala RDS Juta Food Industries seramai 20 pekerja.

Lawatan ke premis usahawan itu turut disertai Pengarah DIDR Sabah, Siti Nur’Ain Abdullah. – Info X