TENOM: Enam anak muda yang terlibat dalam insiden kereta api di laluan Tenom–Pangi, baru-baru ini menerima sumbangan motosikal baharu bagi menggantikan motosikal mereka yang rosak teruk dalam kejadian itu.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, berkata sumbangan enam motosikal itu disampaikan bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesukaran pengangkutan yang dihadapi masyarakat luar bandar.
Beliau berkata bantuan itu diharap dapat membantu golongan belia terbabit meneruskan kehidupan harian serta mencari rezeki walaupun tinggal di kawasan pedalaman yang sukar diakses.
“Hari ini kita menyampaikan enam buah motosikal kepada enam anak muda yang terlibat dalam peristiwa kereta api antara Tenom dan Pangi empat hari lalu.
“Sumbangan ini disampaikan melalui saya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan motosikal kepada penerima di sini.

Jamawi berkata laluan antara Kampung Pangi dan Pekan Tenom sering terjejas terutama ketika musim hujan atau tengkujuh sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.
Menurutnya, dalam keadaan tertentu penduduk terpaksa berjalan kaki sehingga enam jam untuk sampai ke Pekan Tenom sekiranya laluan darat tidak dapat digunakan.
“Setiap kali hujan atau musim tengkujuh, laluan ini memang terjejas. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan tanpa laluan yang baik, mereka terpaksa berjalan kaki dari Kampung Pangi ke Pekan Tenom sehingga enam jam.
“Inilah kesulitan yang mereka hadapi dan perkara ini difahami oleh Ketua Menteri,” katanya.
Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya Sabah supaya mempercepatkan proses pembinaan jalan yang menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi.
Beliau berkata cadangan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 9.2 kilometer itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan selepas projek dilaksanakan.
Menurutnya, pihak juruperunding yang dilantik dijangka menyiapkan kerja berkaitan pada Mei tahun ini.
“Sepanjang tempoh itu, penduduk masih memerlukan pengangkutan bagi menjalankan aktiviti harian dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan kereta api,” katanya.
Jamawi berkata, projek jalan Tenom–Pangi memberi harapan baharu kepada penduduk pedalaman kerana ia telah dimasukkan dalam program pembangunan JKR Sabah.
Enam penerima motosikal berkenaan ialah Sarudi Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani. – Info X