Search

ENAM PELAJAR DISYAKI BELASAH SEORANG PELAJAR LAIN DITAHAN

July 9, 2022

admin

KOTA KINABALU: Enam pelajar sebuah sekolah menengah di Inanam, dekat sini, ditahan selepas dipercayai terbabit memukul seorang pelajar lain, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah berkata, kesemua suspek yang berusia antara 13 hingga 16 tahun terbabit ditahan selepas bapa mangsa membuat laporan polis, semalam.

Katanya, seorang lagi perempuan berusia 17 tahun yang juga bekas pelajar sekolah sama turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan daripada bapa mangsa, semalam.

“Seramai enam pelajar perempuan dari sekolah sama berusia antara 13 hingga 16 tahun dan juga seorang bekas pelajar berusia 17 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya memandang serius kes terbabit dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan membuli atau kekerasan membabitkan pelajar.

“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman video yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan dari pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, video kejadian yang menyaksikan sekumpulan pelajar perempuan membuli seorang pelajar lain itu turut tular di media sosial sejak semalam. – Info X