SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menganjurkan Program Sosioekonomi bagi membantu penduduk di penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, inisiatif itu adalah program berterusan untuk membantu komuniti di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) di negeri ini.
Katanya, program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai peluang menjana pendapatan dan peningkatan tahap pendidikan serta kemahiran.
“Turut terlibat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Amanah Ikthiar Malaysia (AIM).
“Selain itu, IOI Plantation Services Sdn. Bhd, Borneo Unite, Alliance Steel (M) Sdn. Bhd, Public Mutual, Mydin Mohamed Holdings Bhd, Holiday Villages of Malaysia Sdn Bhd, dan Borneo Skills Development Centre,” katanya.
Menurutnya, penglibatan daripada jabatan kerajaan, institusi pendidikan dan swasta itu untuk membuat pameran, ‘pocket talk’, temu duga pendidikan serta kerjaya.“Kira-kira 400 penduduk PPR Taman Harmoni dan masyarakat setempat hadir memeriahkan program berkenaan.
“Kita melihat ramai yang hadir dalam kalangan lingkungan umur 18 hingga 45 tahun, sama ada yang ingin melanjutkan pelajaran mahupun mencari pekerjaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Timbalan Presiden, Majlis Perbandaran Sandakan Wilson Thomas; Ketua Eksekutif KTYS, Samin Haji Ongki; Pengarah PERKESO Sandakan, Mariam Hassan dan Pengurus Cawangan AIM Sandakan, Norazlina Abdul Kadir.
Jamaluddin berkata, seramai 100 murid sekitar PPR Taman Harmoni yang tergolong dalam kalangan asnaf dan B40 menerima kit ‘Back To School’ sumbangan Syarikat Canggih Bayu Sdn. Bhd.
Terdahulu, PPR Taman Harmoni adalah projek pilot kepada penyusunan semula perkampungan air dari Kampung Muhibbah, Kampung Forest, Kampung Cahaya Baru dan Kampung Good View yang bermula pada tahun 2014.
Memiliki 10 buah blok, PPR ini mula diduduki pada tahun 2016 secara berperingkat dan kini sembilan blok telah dihuni manakala sebuah blok lagi sedang dalam penyelenggaraan. – Info X