LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) kini memperkenalkan penggunaan istilah baharu “Kawasan Sabah Timur” bagi menggantikan terminologi lama “Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah”.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Datuk Victor Sanjos berkata, perubahan itu dibuat bagi menggambarkan skop kawalan ESSCOM yang lebih menyeluruh dan tidak lagi tertumpu kepada kawasan pantai timur semata-mata.
Beliau menjelaskan, istilah baharu itu lebih sesuai digunakan kerana ia merangkumi tiga domain utama di bawah tanggungjawab ESSCOM iaitu darat, laut dan udara.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada rakan-rakan media dan juga pengkaji-pengkaji bahawa di mana pun mereka berada mereka selalu merujuk kawasan ini sebagai kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah.
“Hari ini, saya ingin perbetulkan iaitu kita ganti dengan terminologi “Kawasan Sabah Timur” yang merangkumi domain darat, laut dan udara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Victor berkata, penggunaan istilah itu penting bagi memastikan kefahaman yang lebih tepat mengenai skop tanggungjawab ESSCOM yang meliputi keseluruhan domain darat, laut dan udara di kawasan berkenaan.
Katanya lagi, terminologi rasmi yang sepatutnya digunakan juga bukan lagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, sebaliknya Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) yang membawa maksud Kawasan Selamat Sabah Timur. – Info X