KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mengekang aktiviti penyeludupan barang tanpa cukai, barang kawalan dan bersubsidi dengan nilai rampasan mencecah RM627,000 sepanjang suku kedua tahun ini.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP), Victor Sanjos berkata, kejayaan ini hasil kerja keras pegawai dan anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran di bawah koordinasi ESSCOM di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, Beluran.

“Sepanjang suku kedua tahun ini, RCP Sapi Nangoh berjaya mengekang aktiviti penyeludupan melalui pemeriksaan dan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM627,000 iaitu suatu jumlah yang agak tinggi dan merugikan negara.
“Justeru, ketika tinjauan kesiapsiagaan pasukan keselamatan di RCP Sapi Nangoh baru-baru ini, saya memberikan pengiktirafan kepada 17 pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran.
“Penghargaan diberikan terhadap komitmen selaku petugas barisan hadapan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) khususnya RCP Sapi Nangoh, sehingga berjaya mengekang ancaman keselamatan dan elemen jenayah rentas sempadan membabitkan penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, petugas di RCP Sapi Nangoh turut berjaya menangkap dua suspek dan menggagalkan cubaan menyeludup ayam serta daging beku bernilai RM563,800 yang disiasat mengikut Seksyen 135(1) (D) Akta Kastam 1967.
“Selain itu, petugas itu juga berjaya menangkap seorang suspek dan merampas sebuah lori dengan muatan 3,600 liter minyak sawit yang bernilai RM61,800 dan kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia 2015, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
“Kejayaan yang dicapai oleh pasukan keselamatan di ESSZONE ini adalah hasil koordinasi yang rapi dan kesepaduan operasi oleh pelbagai agensi diterajui ESSCOM sekali gus memastikan situasi keselamatan di kawasan ini terus kekal selamat dan terkawal di samping mengurangkan ketirisan hasil pendapatan negara akibat aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan,” katanya.
Oleh itu katanya, ESSCOM menzahirkan penghargaan kepada semua Jabatan dan agensi pertahanan, keselamatan serta penguatkuasaan sama ada persekutuan dan negeri yang bekerja keras khasnya di RCP Sapi Nangoh dalam memastikan kawasan daratan di pantai Timur Sabah ini bebas daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan pencerobohan anasir asing.
“Kejayaan Operasi Taring PGA di RCP Sapi Nangoh ini juga sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui ESSCOM untuk memperkasakan operasi sedia ada dibawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ESSZONE melalui koordinasi Operasi SANGGAH ESSCOM.
“ESSCOM juga amat menitikberatkan dan memberi perhatian dalam menjaga kebajikan serta meningkatkan motivasi anggota yang bertugas di lapangan.
“Usaha ini termasuklah melalui penambahbaikan infrastruktur pos-pos kawalan dan peningkatan keupayaan rondaan petugas barisan hadapan menerusi perolehan aset-aset keselamatan yang terkini sejajar dengan tuntutan operasi yang tinggi serta mencabar di ESS Zone,” katanya.
Victor berkata, pihaknya sedia maklum tentang kewujudan lorong-lorong tikus dan kekangan aset yang juga cabaran terbesar kepada pasukan keselamatan di kawasan ini dalam melaksanakan rondaan pencegahan jenayah.
“ESSCOM akan memperhalusi cadangan penyelesaian yang terbaik untuk dikemukakan ke peringkat Kementerian nanti.
“Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya di pantai Timur Sabah supaya melapor dan menyalurkan apa jua maklumat berkaitan sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapps di talian 011-63311072,” katanya. – Info X