KOTA KINABALU: East Sabah Security Command (ESSCOM) bersama semua pasukan keselamatan menerima sokongan penuh kerajaan negeri dalam usaha mengekang pelbagai ancaman dan anasir luar di negeri ini.
Sokongan itu dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESSZone Bilangan 1, Tahun 2024 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, ancaman dan anasir yang perlu dikekang termasuk pencerobohan, militan asing, keganasan, kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan, khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Katanya, operasi yang giat dijalankan ESSCOM penting untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada dibolosi pihak yang tidak bertanggungjawab dan menganggu ketenteraman negeri ni.
“Sejajar dengan pemerkasaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), saya amat menyokong inisiatif penambahbaikan infrastruktur, aset, sumber manusia dan keperluan agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan bagi memastikan tahap kebolehoperasian dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi,” katanya pada mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat itu dipengerusikan Hajiji dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi; Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Soh dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag Shahminan Ag Sahari.
Hajiji berkata, sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur: Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia – Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada pada kedudukan yang strategik.
Katanya, kawasan pantai timur Sabah berpotensi menjadi hab pertumbuhan ekonomi baharu berikutan lokasinya yang hampir dengan negara EAGA yang lain.
“Pemindahan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur juga akan menambah merit dan keunggulan negeri Sabah.
“Perkembangan positif ini wajar diambil peluang kerana kebanjiran manusia dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini.
“Kerajaan percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh menerokai sub-rantau ini dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan kian berkembang,” katanya.
Hajiji berkata, ESSCOM menjadi jenama keselamatan yang dijadikan rujukan pihak luar untuk membuat pelaburan.
Jelasnya, kerjasama strategik di antara kerajaan negeri dan persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat dilaksanakan dengan jaya.
“Kerajaan negeri komited memastikan situasi keselamatan di sempadan maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai serta sempadan daratan khususnya di ESSZone dalam keadaan baik dan terkawal.
“Ini kerana keluasan maritim yang besar di Sabah menjadi penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi Malaysia sebagai sebuah wilayah perairan yang tidak terlepas daripada ancaman keselamatan dan aktiviti jenayah merentasi sempadan.
“Oleh itu penyelarasan yang jitu di antara kerajaan negeri dengan KDN melalui semua agensi di bawahnya seperti ESSCOM akan sentiasa digembleng bagi menangani isu itu di Sabah dan Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Hajiji dan Saifuddin turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bil 1, Tahun 2024 di Menara Kinabalu. – Info X