Search

ESSCOM patahkan cubaan seleweng 74 tan minyak sawit mentah

August 15, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Cubaan licik sindiket menyeleweng minyak sawit mentah (CPO) bernilai hampir setengah juta ringgit berjaya dipatahkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menerusi serbuan di dua lokasi di sini, semalam.

Dalam Operasi Bersepadu hasil risikan dan maklumat awam itu, pasukan keselamatan merampas 74 metrik tan CPO, dua lori serta pelbagai peralatan mengepam minyak, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM476,000.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata serbuan dilakukan di sekitar Jalan POIC dan sebuah ladang persendirian di Jalan Segama Lama, di sini.

“Hasil serbuan dua lelaki tempatan berusia 30-an dan 40-an ditahan selepas dipercayai terlibat secara langsung dengan kegiatan itu.

“Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan tiada ruang untuk jenayah penyelewengan hasil negara di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), selain menyekat kegiatan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi yang boleh menjejaskan ekonomi tempatan.

Menurutnya, operasi bersepadu berkenaan adalah sebahagian daripada Operasi SANGGAH ESSCOM, yang memperkukuh tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“ESSCOM akan terus memperluas operasi di seluruh ESSZONE bagi mengekang jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat insiden keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui WhatsApp 011-63311072,” katanya. – Info X