Search

ESSCOM rampas minyak masak, petrol bernilai lebih RM101,000

June 13, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebanyak 2,380 paket minyak masak bersubsidi dan 150 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dirampas dalam serbuan Op Tiris 4.0 di kawasan jeti Sungai Jipon, Jalan Datuk Tay, di sini, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) turut menahan seorang lelaki yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala empat lagi suspek berjaya meloloskan diri.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat risikan bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Markas Taktikal (MARTEK) Sandakan.

Menurutnya, sepasukan anggota keselamatan yang menjalankan operasi di kawasan jeti Sungai Jipon mengesan timbunan plastik hitam mencurigakan di daratan serta sebuah bot yang sedang berlabuh berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua lelaki berada di daratan manakala tiga lagi berada di atas bot yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi.

“Ketika pasukan keselamatan memperkenalkan diri dan menjalankan pemeriksaan, seorang lelaki berjaya ditahan manakala seorang lagi melarikan diri.

“Tiga lagi suspek yang berada di atas bot bertindak terjun ke sungai sebelum meloloskan diri ke kawasan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap 140 plastik hitam yang ditemui di lokasi membawa kepada penemuan 2,380 paket minyak masak bersubsidi serta lima tong jerikin mengandungi 150 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Katanya, suspek yang ditahan bersama barang rampasan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/69 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM101,508,” katanya.

Victor berkata, ESSCOM bersama PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperhebat operasi membanteras kegiatan penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan bersubsidi di kawasan pantai timur Sabah.

Menurutnya, tindakan itu penting bagi memastikan barang kawalan bersubsidi tidak diseludup keluar sewenang – wenangnya ke negara jiran tanpa kelulusan atau permit sah daripada pihak berkuasa. – Info X