KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya merampas 4,486 karton rokok kretek dan rokok putih pelbagai jenama serta 143 karton mercun dengan nilai anggaran selepas cukai sebanyak RM850,000 dalam serbuan di Kampung Paris III, di sini pada 11 Mac lalu.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, rampasan itu dilakukan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok sebelum pemeriksaan dan serbuan mengejut dijalankan di tiga premis tidak bernombor di kampung berkenaan.
Katanya, antara jenama rokok yang dirampas ialah Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice, Extreme Mild, A Satu Premium dan Tembakau Salak.
“Semua rokok itu disembunyikan sama ada di dalam kotak atau plastik dan dipercayai melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
“Barang rampasan membabitkan rokok kretek, rokok putih serta mercun itu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan ESSCOM dalam membanteras serta mengurangkan jenayah rentas sempadan (JRS) di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Menurutnya, ESSCOM akan terus mempergiat operasi khas dan meningkatkan koordinasi bersama agensi keselamatan lain bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti atau insiden mencurigakan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072. – Info X