KOTA BELUD: Naib Presiden Upko Datuk Ewon Benedick, hari ini, memberi bayangan yang beliau akan bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan parti akan datang.
“Saya tidak mencabar kepimpinan sesiapa, tetapi saya ingin menawarkan rekod kepimpinan saya di Kadamaian kepada ahli-ahli parti.
“Sekiranya mereka merasakan rekod ini boleh diangkat menjadi inspirasi baharu kepada parti, dan jika mereka merasakan masanya sudah tiba, saya bersedia mengambil cabaran tersebut.
“Banyak spekulasi mengatakan saya ada pengumuman pada hari ini, maka terpulanglah kepada ahli-ahli parti, khususnya bahagian-bahagian Upko untuk menterjemahkan kenyataan saya hari ini dan saya bersedia menyahut cabaran sekiranya bahagian-bahagian mahu saya menerajui parti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena mesyuarat agung tritahunan Upko Kota Belud di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dirasmikan Timbalan Presiden UPKO Donald Peter Mojuntin.

Ewon berkata, pimpinan Upko perlu mendengar pandangan dan teguran ahli-ahli parti itu dan juga rakyat seterusnya mengambil tindakan progresif mengenainya.
“Jika majoriti ahli parti mahukan penjenamaan parti dipakejkan dengan transisi kepimpinan, maka kita harus peka dan ambil tindakan progresif berkaitannya.
“Kita tidak boleh bertanding dalam pilihanraya jika ahli-ahli parti di bahagian berpecah dan meninggalkan parti, kita tidak akan dapat bersaing dengan blok politik kerajaan jika kita tidak dapat berupaya mencetuskan inspirasi baharu yang dapat membina semula sokongan kepada parti ini,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan itu sudah cukup jelas untuk diterjemahkan oleh ahli-ahli Upko pada pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini.
Baru-baru ini, sumber yang rapat dengan Ewon memberitahu, Ewon berhasrat untuk bertanding jawatan presiden selepas mendapat sokongan terutama pemimpin dan ahli-ahli daripada sayap parti iaitu pemuda, wanita dan generasi muda (GEM) Upko.
Sekiranya perkara itu benar, Ewon akan bersaing dengan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga presiden Upko ketika ini. – Info X