Search

Ewon saran surau, masjid kawasan Kadamaian tubuh koperasi

April 10, 2023

admin

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyarankan pihak surau, masjid dan penduduk kampung secara keseluruhannya terutama di kawasan Kadamaian supaya menubuhkan koperasi.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ini penting untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung.

“Di kawasan Kadamaian sahaja terdapat 19 masjid dan surau yang berpotensi untuk menubuhkan koperasi.

“Saya mahu melihat lebih banyak penyertaan Sabah dalam program keusahawanan dan koperasi,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Madani Kawasan N11 Kadamaian, di Masjid Kg Tambulion, di sini, semalam.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai 10 agensi yang menyediakan pelbagai bantuan dan program untuk usahawan dan koperasi, antaranya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Saya berharap rakyat di negeri ini khususnya Kadamaian merebut peluang dalam bidang keusahawanan dengan menghubungi agensi-agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan dan skim-skim pinjaman yang disediakan,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Jawatankuasa Masjid dan Surau DUN Kadamaian dan kepada golongan asnaf Kg.Tambulion.

Majlis berbuka puasa adalah antara acara tahunan Ewon sejak beberapa tahun lalu setiap kali bulan Ramadan. – Info X