Search

Ewon serah tujuh lembu korban kepada masjid di DUN Kadamaian

June 15, 2024

Info X Reporters

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan tujuh lembu kepada tujuh masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian sempena sambutan Aidiladha, Isnin ini.

Sumbangan itu disampaikan kepada setiap wakil masjid pada majlis ringkas di perkarangan Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kadamaian di Kampung Piasau, di sini, hari ini.

Penerima sumbangan lembu korban itu ialah Masjid Kampung Tengkurus, Tambulion, Lompios, Tekulung, Kebidahan, Rajunah dan Kampung Lobong-Lobong.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata, penyampaian sumbangan sempena sambutan perayaan keagamaan adalah acara tahunannya sejak menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

“Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri
dan Krismas yang lalu, saya juga turut menyampaikan sumbangan di Kadamaian sebagai tanda keprihatinan dan perpaduan kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan ini.

“Saya akan teruskan acara ini setiap tahun bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan, keharmonian dan persaudaraan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu.

Sementara itu Pengerusi Masjid Kampung Rajunah, Md Amzar Abdul Rahman merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan beliau terhadap masyarakat Islam di kawasan Kadamaian.

“Pada sambutan raya yang lepaspun YB Datuk Ewon telah menyampaikan sumbangan di kampung kami berupa wang ringgit dan kali ini, seekor lembu untuk sambutan Aidiladha.

“Bagi mewakili penduduk kampung, saya amat berterima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan ini dan kami berharap sumbangan ini memberikan inspirasi kepada rakyat untuk terus bekerjasama memajukan kampung,” katanya.

Pengerusi JKKK Kampung Lompios, Zuraidah Mandai turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan seekor lembu untuk Masjid Al Hidayah di kampung itu.

“Ini tanda keprihatinan YB kepada masyarakat Islam di kampung kami. Pada sambutan Krismas dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, kampung kami turut menerima sumbangan daripada YB Datuk Ewon,” katanya.

Turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan beliau sempena Aidiladha hari ini ialah Pengerusi JKKK Kampung Kobidahan, Junny Simpol dan Wakil Masjid Nurul Huda Kampung Tongkurus Yongit @ Abdullah Ajis. – Info X