Search

Ewon tinjau laluan kereta api Beaufort–Tenom, nilai tahap penyelenggaraan

May 2, 2026

Info X Reporters

TENOM: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, meninjau laluan kereta api dari Beaufort ke Tenom bagi melihat sendiri keadaan perkhidmatan serta tahap penyelenggaraan laluan berkenaan.

Beliau berkata, perkhidmatan kereta api masih menjadi mod pengangkutan utama penduduk di sepanjang laluan itu, khususnya bagi tujuan bekerja dan bersekolah.

“Perkhidmatan kereta api merupakan pilihan penduduk di sepanjang laluan ini terutama pada waktu bekerja dan bersekolah.

“Saya berpuas hati dengan usaha dan inisiatif berterusan Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam memastikan keselamatan serta kelangsungan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan tinjauan, di sini.

Ewon turut merakamkan penghargaan terhadap tindakan segera jabatan berkenaan dalam menangani kerosakan seperti runtuhan tanah dan tebing di sepanjang laluan.

“Saya menghargai semua inisiatif Jabatan Keretapi Negeri Sabah dalam penambahbaikan aset, penyelenggaraan laluan dan memastikan perkhidmatan terus beroperasi kepada pengguna,” katanya.

Dalam tinjauan itu, beliau turut melawat Stesen Keretapi Rayoh dan diberikan taklimat ringkas berhubung permohonan rizab tanah kampung yang dipanjangkan wakil rakyat Melalap dan Kemabong.

Selain itu, di Stesen Keretapi Pangi, beliau dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku awal tahun ini serta langkah penyelenggaraan laluan dan perolehan aset baharu bagi menambah baik perkhidmatan.

Dalam perkembangan sama, Ewon berkata kementeriannya akan memulakan kajian Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah yang merangkumi pengangkutan darat termasuk kereta api, selain udara dan laut.

“Hasil dapatan kajian ini akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum dikongsikan kepada rakyat Sabah, dan sudah tentu perkhidmatan kereta api menjadi antara komponen penting dalam pelan induk berkenaan,” katanya.

Perkhidmatan kereta api dari Stesen Keretapi Beaufort bertolak kira-kira jam 2.07 petang sebelum tiba di Stesen Keretapi Tenom pada jam 5 petang, dengan beberapa hentian termasuk di Saliwangan, Halogilat, Rayoh dan Pangi.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Jonnybone Kurum; Setiausaha Tetap MINDET, Thomas Logijin; serta pegawai dan agensi berkaitan. – Info X