KOTA KINABALU: Pertubuhan Lima Generasi (PLG) membuat laporan polis terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Redza yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong berikutan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11.
Setiausaha PLG, Mohd Syarezan Abdul Samat, berkata hantaran di media sosial yang dibuat individu terbabit jelas melanggar undang-undang membabitkan isu raja, kaum dan agama (3R).
Katanya, satu laporan polis sudah dibuat meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.
“Yang jelas kita lihat dia menghina TYT baharu Sabah, Tun Musa Aman melalui hantaran di media sosial. Ada dua tiga hantaran yang kita tengok agak menjengkelkan dan menghina TYT.
“Ia jelas menunjukkan beliau telah memperlekeh dan tidak menghormati keputusan yang dibuat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mohd Syarezan berkata Fahmi jelas memainkan isu 3R berdasarkan tindakannya yang dilihat cuba untuk mengganggu keharmonian dan perpaduan rakyat Sabah.
“Jadi, kami dari PLG Sabah sangat mengharapkan pihak PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kerajaan Negeri Sabah untuk mengambil tindakan terhadap individu ini.
“Jangan cuba menyiram minyak di bara api. Sarang tebuan jangan dijolok. Ikut hati mati, ikut rasa binasa,” katanya.
Mohd Syarezan turut menggesa agar nerajaan negeri menghalang Fahmi Reza daripada masuk ke Sabah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata, setakat ini pihak polis sudah menerima dua laporan polis yang dibuat terhadap individu terbabit. – Info X