KOTA KINABALU: Sabah FC berada pada tahap terbaik bagi menghadapi aksi final Piala FA musim ini menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Pengendalinya, Daniel Jean Paul de Marigny yakin terhadap keupayaan anak buahnya berdasarkan persiapan rapi yang dibuat untuk melakar sejarah baharu pasukan selepas 27 tahun tidak ke final Piala FA.
Selepas hampir lapan minggu menjalani persiapan intensif, Daniel berkata pemain Sang Badak kini berada pada prestasi optimum, seiring harapan ribuan penyokong yang menantikan detik bersejarah itu.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini, pemain sudah bekerja keras dan mereka benar-benar layak menerima penghargaan ini.
“Apabila seseorang berjuang dan akhirnya diraikan, kejayaannya menjadi lebih manis. Kami akan memberikan segala-galanya demi Sabah,” katanya pada sesi latihan terbuka di Stadium Likas, malam tadi.
Daniel berkata, Sabah FC sudah melengkapkan perancangan taktikal bagi mengekang ancaman lawan sambil memanfaatkan setiap ruang yang tersedia.
Momentum pasukan juga semakin meningkat selepas aksi cemerlang serta jaringan berkualiti yang terhasil pada perlawanan terdahulu.
Beliau turut menggesa penyokong Sabah yang berada di Semenanjung untuk memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil atau memberi sokongan dari rumah bagi menyemarakkan lagi semangat juang pemain pada perlawanan akhir yang dinantikan itu.
Pada sesi latihan terbuka itu, peminat turut berpeluang beramah mesra dan bergambar bersama pemain, menjadikan suasana di Likas cukup meriah.
Sesi latihan itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Nizam turut menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM100,000 kepada Sabah FC sebagai tanda penghargaan atas kejayaan pasukan mara ke final Piala FA 2025. – Info X